Polis giat buru geng curi kabel di Shah Alam
SHAH ALAM – Polis kini giat mengesan sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di sekitar Seksyen 3, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asistan Komisioner Ramsay Embol berkata, laporan diterima daripada seorang saksi berusia 30-an yang tinggal berhampiran lokasi kejadian.
“Kejadian disedari berlaku kira-kira pukul 5 pagi Jumaat lalu, apabila saksi terdengar bunyi bising di luar rumahnya.
“Saksi bangun dan melihat sekumpulan lelaki tidak dikenali sedang memotong kabel. Apabila cuba mengekori mereka, saksi diugut dan suspek cuba mengejarnya sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ramsay, polis percaya kumpulan itu aktif dan mahir mencuri kabel bagi mendapatkan besi tembaga dengan modus operandi mengorek lubang kabel dan memotongnya di tempat sunyi.
Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan, manakala nilai kerugian masih dalam siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman, di talian 011-16652402 bagi membantu siasatan.
Polis juga menggesa orang awam melaporkan individu mencurigakan atau aktiviti mencuri kabel segera melalui talian kecemasan 999.
Terdahulu, rakaman video kejadian tular di media sosial, memaparkan beberapa lelaki menggunakan kenderaan termasuk pacuan empat roda untuk menjalankan kegiatan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








