Curi kabel: Polis tahan dua lelaki, buru seorang lagi suspek
KAJANG – Polis menahan dua suspek kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di sekitar daerah ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, kedua-dua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang susulan serbuan di sekitar Kajang dan Bandar Baru Bangi.
Tambahnya, tangkapan dibuat hasil maklumat orang ramai serta risikan yang dijalankan pihak polis.
“Suspek pertama berusia 29 tahun merupakan seorang peniaga burger dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“(Manakal) Suspek kedua pula berumur 43 tahun, tidak bekerja serta mempunyai 10 rekod jenayah dan empat rekod narkotik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Naazron berkata, kedua-dua suspek direman sehingga 12 Mei bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna perak yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Bagaimanapun, usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang,” tambahnya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan suspek.
“Polis menyeru masyarakat supaya terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03-89114243,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan beberapa individu dipercayai sedang mencuri kabel di sebuah tamah perumahan, di sini.
Kesemua suspek kemudian bertindak melarikan diri selepas kegiatan mereka disedari dan ditegur penduduk setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













