Menyamar pegawai semakan, lelaki larikan telefon pekerja premis makanan
SHAH ALAM – Telefon bimbit milik seorang pekerja wanita sebuah premis makanan dilarikan oleh seorang lelaki menyamar sebagai individu yang kononnya mahu membuat semakan pekerja di Setia Alam, kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 5.03 petang itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an dipercayai diperdaya selepas suspek meminjam telefon bimbitnya dengan alasan untuk membuat catatan sebelum melarikan diri dari premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asistan Komisioner Ramsay Emb berkata, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), suspek dilihat datang ke premis tersebut dan mengemukakan beberapa soalan berkaitan semakan pekerja di cawangan berkenaan.
“Dalam masa yang sama, suspek menggunakan taktik meminjam telefon bimbit mangsa bagi tujuan membuat catatan berkaitan perkara tersebut.
“Mangsa telah menyerahkan telefon bimbitnya sebelum suspek bertindak melarikan diri bersama peranti itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, usaha mengesan dan menangkap suspek kini giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Shah Alam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai individu yang tidak dikenali, khususnya yang menggunakan taktik penyamaran untuk memperdaya mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Ahmad Syahir Qayyum Ariff di talian 011-16621816 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-5520 2222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular satu hantaran di aplikasi Threads memaparkan seorang wanita ditenangkan oleh dua individu lain selepas telefon bimbitnya dilarikan lelaki berkenaan.
Suspek turut didakwa membuka kunci peranti menggunakan fungsi Face ID sebelum mengakses aplikasi Notes yang mengandungi pelbagai kata laluan termasuk akaun bank.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







