Sindiket curi kabel tumpas, 18 suspek termasuk penjawat awam ditahan
SEPANG – Polis menumpaskan sindiket curi kabel selepas menahan 18 individu termasuk lima penjawat awam dalam beberapa siri serbuan di sekitar Sepang, Cheras dan Kajang antara 19 hingga 23 Mei lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, tangkapan tersebut merupakan hasil kejayaan operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dalam membanteras kegiatan kecurian kabel di Jalan Jati, Kampung Desa Putra dan Sungai Merab.
Katanya, serbuan pertama dilakukan pada 19 Mei pada pukul 7 pagi selepas sepasukan anggota rondaan yang diketuai Ketua Polis Balai Dato Abu Bakar Baginda mengesan tiga kenderaan mencurigakan membawa kabel.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki berada di luar kawasan ladang kelapa sawit manakala enam lagi berada di dalam ladang dipercayai sedang membakar kabel. Dua suspek berjaya melarikan diri, manakala enam yang lain ditahan,” katanya pada sidang media di IPD Sepang hari ini.
Susulan itu, pada 20 Mei sekitar pukul 1.50 hingga 3 pagi, tiga lagi suspek termasuk seorang wanita berjaya diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang.
“Kesemua mereka direman empat hari sehingga 23 Mei dan lanjutan sehari pada 24 Mei.
“Pada 22 Mei pula, enam lagi suspek ditahan dalam serbuan susulan pada pukul 7 malam hingga 9 malam di Cheras dan Kajang.
“Lima daripada mereka merupakan penjawat awam dan kesemua ditahan reman tiga hari bermula 23 Mei dengan lanjutan sehingga 27 Mei,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu, seorang lagi lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an diberkas pada 23 Mei pukul 2.25 petang di Taman Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Polis turut merampas buku dan resit berkaitan jual beli barang lusuh. Suspek itu telah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.
Antara barangan yang dirampas termasuk tiga kenderaan pelbagai jenis, kabel terbakar, telefon bimbit, pemotong wayar, alat pengimbang besi, beberapa biji bateri, mesin gergaji, alat pemantul Cahaya dan dokumen peribadi milik suspek.
Hussein berkata, semua suspek berusia antara 23 hingga 53 tahun merupakan warga tempatan dan beberapa individu didapati mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya,” katanya.
Tambah beliau, kecurian kabel bukan sahaja merupakan jenayah, malah mengancam keselamatan, ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
“Orang ramai dinasihatkan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dan mengelak daripada membeli atau memiliki kabel curi. Komuniti yang selamat bermula dengan keprihatinan bersama,” katanya.
Sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, ASP Mahafiz Mat Lawi di talian 010-2396533 atau balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








