BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tujuh kontena hasilan haiwan bernilai hampir RM2 juta, sisa e-waste disita di Pelabuhan Klang Barat

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk tujuh kontena dagangan hasilan haiwan tanpa permit sah dalam satu operasi di Pelabuhan Klang Barat, semalam, dengan nilai rampasan dianggarkan hampir RM2 juta.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi yang dijalankan antara pukul 11 pagi hingga 2 petang di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4 itu memeriksa tujuh kontena mengandungi susu UHT, itik sejuk beku serta susu tepung.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati dagangan berkenaan dipercayai dibawa masuk tanpa permit import sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1,917,292.54 dengan berat keseluruhan 159,157.93 kilogram. Kesemua hasilan haiwan ini berasal dari New Zealand dan Ireland,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Produk itik yang dibawa masuk dari luar negara tanpa syarat yang sah.

Beliau berkata, tindakan penyitaan dibuat bagi mengekang risiko kemasukan penyakit haiwan selain memastikan aspek keselamatan makanan serta kesihatan awam negara terus terpelihara.

Dalam perkembangan berasingan, AKPS turut mengesan dua kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) hasil pemeriksaan fizikal ke atas enam kontena di pelabuhan sama kira-kira pukul 9 pagi semalam.

Nik Ezanee berkata, pemeriksaan mendapati kontena berkenaan mengandungi pelbagai barangan terpakai termasuk alat kawalan jauh, mesin kad kredit, mesin pencetak dan mesin pencetak resit dengan anggaran berat keseluruhan 37,028 kilogram.

“Kedua-dua kontena ini masuk ke dalam negara pada Disember 2025 dan bulan ini dengan memalsukan pengikraran dagangan dalam Sistem Maklumat Kastam, diisytiharkan sebagai ABS flakes dan mesin industri,” jelasnya.

Tegas beliau, kemasukan Bahan Buangan Terjadual adalah dilarang sama sekali di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan semua kontena terbabit kini ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu tindakan lanjut serta notis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button