Defisit perdagangan AS catat rekod tertinggi susulan lonjakan import
WASHINGTON – Defisit perdagangan Amerika Syarikat (AS) melebar dengan ketara pada Disember susulan lonjakan import, sekali gus menyaksikan jurang dagangan barangan pada 2025 mencatat paras tertinggi dalam sejarah walaupun pelbagai tarif telah dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Laporan terbaharu US Commerce Department semalam menunjukkan defisit perdagangan merosot untuk bulan kedua berturut-turut, memberi isyarat bahawa sektor perdagangan menyumbang sedikit atau hampir tiada sumbangan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat tahun lalu.
Sepanjang tahun 2025, eksport AS meningkat enam peratus manakala import naik hampir lima peratus.
Namun, defisit perdagangan barangan tetap melebar dua peratus kepada rekod AS$1.24 trilion (RM4.84 trilion).
Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pertambahan import cip komputer dan barangan teknologi dari Taiwan bagi menyokong pelaburan besar dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Dalam masa sama, defisit dagangan barangan AS dengan China menyusut hampir 32 peratus kepada AS$202 bilion (RM788 bilion) pada 2025, berikutan penurunan ketara eksport dan import antara kedua-dua negara susulan ketegangan berterusan.
Bagaimanapun, aliran perdagangan dilihat beralih ke negara lain.
Defisit barangan dengan Taiwan meningkat dua kali ganda kepada AS$147 bilion (RM574 bilion), manakala jurang dengan Vietnam melonjak 44 peratus kepada AS$178 bilion (RM695 bilion).
Tahun lalu, Trump melancarkan beberapa pusingan tarif ke atas rakan dagang utama dengan matlamat mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan serta melindungi industri tempatan.
Namun, langkah itu dilihat belum berjaya menghidupkan semula sektor pembuatan.
Data menunjukkan pekerjaan dalam sektor kilang merosot sebanyak 83,000 antara Januari 2025 hingga Januari 2026.
Felo kanan Institut Peterson bagi Ekonomi Antarabangsa, Chad Bown berkata, kajian ekonomi setakat ini tidak menunjukkan bukti kukuh bahawa tarif mampu mengurangkan defisit perdagangan secara signifikan apabila dilaksanakan oleh sesebuah negara.
“Tiada bukti jelas dalam literatur penyelidikan ekonomi bahawa tarif benar-benar memberi kesan material terhadap defisit perdagangan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








