99 Speed Mart hulur RM107,000 ganjaran tunai kepada atlet Paralimpik
PUTRAJAYA – 99 Speed Mart Sdn Bhd hari ini tampil memberikan ganjaran tunai secara langsung kepada atlet Paralimpik negara yang berjaya meraih pingat di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, syarikat runcit itu menyalurkan ganjaran berjumlah RM107,000 dengan kadar RM35,000 bagi pingat emas, RM15,000 bagi pingat perak dan RM7,000 bagi pingat gangsa.
“Ganjaran tersebut diberikan kepada lima atlet negara, iaitu Cheah Liek Hou (pingat emas), Bonnie Bunyau Anak Gustin (pingat emas), Abdul Latif Romly (pingat perak), Muhammad Ziyad Zolkefli (pingat perak) dan Eddy Bernard (pingat gangsa).
“Usaha ini bukan sahaja meraikan kejayaan atlet malah membuktikan sumbangan mereka sentiasa dihargai.
“Dengan pendekatan telus seperti Road to Gold (RTG), keyakinan rakyat terhadap tadbir urus sukan negara dapat diperkukuhkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini
Beliau berkata, sokongan sektor swasta seperti ini memperlihatkan solidariti bersama atlet negara yang wajar diraikan bukan hanya ketika meraih pingat, tetapi juga selepas mereka kembali membawa kebanggaan buat Malaysia.
Sebelum itu, timbul polemik membabitkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Cheah Liek Hou berhubung tafsiran ganjaran kemenangan pingat emas di Paris 2024.
“KBS menghargai inisiatif ini kerana ia membuktikan bahawa wira Paralimpik terus diraikan dengan penuh penghormatan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














