13 maut dalam serangan udara Israel ke atas kem pelarian Palestin di Lebanon
BEIRUT – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan udara Israel semalam yang menyasarkan Kem Ain al-Helweh iaitu kem pelarian Palestin terbesar di Lebanon, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.
Serangan berlaku di kawasan sesak di pinggir bandar pesisir Sidon dengan saksi melihat anggota bomba memadam kebakaran pada tingkat bawah sebuah bangunan yang terjejas, lapor agensi berita antarabangsa AFP.
Kumpulan bersenjata turut melepaskan tembakan ke udara bagi membuka laluan untuk ambulans yang bergegas membawa mangsa ke hospital.
Israel mendakwa serangan itu menyasarkan sebuah ‘kompleks latihan Hamas’ namun pergerakan itu menafikan mempunyai kemudahan ketenteraan di mana-mana kem Palestin di Lebanon dan menyifatkan dakwaan Israel sebagai ‘rekaan dan pembohongan’.
Agensi Berita Kebangsaan Lebanon yang dikendalikan kerajaan melaporkan serangan itu pada awalnya menyasarkan sebuah kereta berhampiran Masjid Khalid bin al-Wali, sebelum dakwaan bahawa masjid serta sebuah pusat berhampiran turut menjadi sasaran.
Namun koresponden AFP memaklumkan tiada kerosakan dapat dilihat pada masjid itu.
Seorang petugas perubatan berkata, penyelamat mengutip cebisan tubuh mangsa di kawasan kejadian sementara ambulans terus membawa mangsa tambahan ke hospital berdekatan.
Tentera Israel dalam kenyataan berkata mereka menyerang ‘pejuang yang beroperasi di sebuah pangkalan latihan Hamas’ di Ain al-Helweh dan mendakwa tindakan itu bagi membendung usaha pembentukan Hamas di Lebanon.
Hamas pula menuduh Israel melakukan serangan kejam ke atas kem itu dan menafikan dakwaan lokasi disasarkan adalah pangkalan latihan sebaliknya memaklumkan kawasan yang dibom ialah padang sukan terbuka yang sering dikunjungi remaja di kem berkenaan.
Lebanon menempatkan kira-kira 222,000 pelarian Palestin, menurut UNRWA.
Mengikut amalan berdekad-dekad lamanya, tentera Lebanon tidak memasuki kem Palestin dan keselamatan dalaman kem diserahkan kepada rakyat Palestin sendiri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







