10 aktivis serah memorandum desak Rafizi bersara
KUALA LUMPUR – Seramai 10 aktivis hadir ke pejabat Invoke hari ini bagi menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang menggesa beliau bersara sepenuhnya daripada politik negara.

Memorandum tersebut disampaikan oleh wakil kumpulan termasuk aktivis politik, Faizan Mohd Nor dan pengasas PKR, Ng Lum Yong, bersama beberapa individu yang mewakili rakyat.
Faizan berkata, memorandum bertarikh 10 April itu, ia dikemukakan sebagai maklum balas konstruktif terhadap beberapa isu dasar dan pelaksanaan sepanjang Rafizi menerajui Kementerian Ekonomi sebelum ini.
“Antara perkara dibangkitkan ialah dakwaan kegagalan menangani peningkatan kos sara hidup yang melibatkan harga barangan asas, perumahan dan perkhidmatan,” katanya kepada media di sini hari ini.
Memorandum berkenaan telah diterima bagi pihak Rafizi oleh Lukman Hakim pada jam 3.30 petang.
Kumpulan itu mendakwa walaupun pelbagai pelan ekonomi diumumkan, pelaksanaannya di peringkat akar umbi dilihat tidak menyeluruh serta kurang memberi kesan ketara kepada rakyat.
“Pendekatan dasar yang terlalu bergantung kepada unjuran data tanpa hasil nyata di lapangan dilihat mewujudkan jurang antara perancangan dan realiti rakyat,” katanya lagi.
Selain itu, memorandum berkenaan turut mempersoalkan tahap pencapaian janji manifesto semasa Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia (PRU15), khususnya berkaitan usaha menstabilkan harga barangan dan meningkatkan pendapatan isi rumah.
Menurut mereka, kegagalan menunaikan janji tersebut boleh menjejaskan keyakinan rakyat serta menimbulkan persoalan terhadap akauntabiliti kepimpinan.
Dalam pada itu, pelaksanaan projek mesin layan diri (vending machine) dan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) turut menjadi perhatian.
Memorandum itu mendakwa projek vending machine tidak dilihat sebagai keutamaan rakyat, manakala pelaksanaan PADU pula menimbulkan kebimbangan berkaitan keselamatan data, tahap pendaftaran serta kefahaman pengguna.
Faizan turut berkata, kumpulan berkenaan mencadangkan agar Rafizi mempertimbangkan untuk bersara daripada politik sekiranya kelemahan yang dibangkitkan tidak diperbaiki.
“Langkah itu penting bagi menjaga integriti kepimpinan serta kepentingan rakyat,” menurut memorandum tersebut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













