
WSIS iktiraf NADI sebagai projek digital berimpak tinggi Malaysia
GENEVA – Projek Inklusif Digital NADI Malaysia menerima pengiktirafan tertinggi di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) 2025 dalam kategori Capacity Building, hasil kejayaannya memperkasa komuniti luar bandar melalui pembangunan kemahiran digital dan kesalinghubungan.
Anugerah berprestij itu disampaikan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Geneva, Switzerland, kelmarin.
WSIS, yang dianjurkan oleh International Telecommunication Union (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengiktiraf projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyumbang secara signifikan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
NADI Pulau Banggi muncul sebagai juara selepas dinilai berjaya menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi, latihan ICT serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti di antara kawasan paling terpencil di negara ini.
Fahmi berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam era digital.
“Projek NADI Pulau Banggi membuktikan usaha Malaysia dalam menjadikan teknologi sebagai pemangkin perubahan hidup.
“Anugerah ini milik rakyat, khususnya komuniti yang kini lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital,” katanya lagi.
Pulau Banggi yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat, Sabah, sebelum ini menghadapi kekangan capaian digital.
Namun menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), hab digital komuniti telah diwujudkan di kawasan itu, membolehkan golongan nelayan, pelajar, wanita dan usahawan kecil mengakses latihan dan peluang baharu.
Selain NADI Pulau Banggi, Projek Stingray II Pulau Ketam turut mencuri perhatian apabila diumumkan sebagai johan bagi kategori C2: Information and Communication Infrastructure. Projek tersebut berjaya menyediakan kesalinghubungan berkelajuan tinggi menerusi pemasangan kabel dasar laut sepanjang 46.4 kilometer dari Kapar ke Pulau Ketam.
Kejayaan itu membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, keluarga mengakses perkhidmatan teleperubatan dan peniaga tempatan menjalankan perniagaan secara digital.
Pengiktirafan WSIS itu mengukuhkan kedudukan NADI sebagai antara program pembangunan digital paling berimpak tinggi di peringkat antarabangsa dan mengesahkan usaha Malaysia dalam mewujudkan kesaksamaan digital yang menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








