BERITA SEMASA

Kerajaan putuskan PADU diteruskan, tidak akan ditangguh – Fahmi

PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil keputusan untuk tidak menangguhkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) walaupun terdapat beberapa aduan berbubung isu keselamatan sistem berkenaan sejak dilancarkan semalam.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil isu keselamatan yang dibangkitkan telah diselesaikan dalam masa yang singkat.

Fahmi berkata , beliau yakin segala isu yang dibangkitkan mengenai pelaksanaan PADU akan diberi perhatian oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan pasukannya.

“Pemantauan tentang isu keselamatan juga terus dilakukan dan tidak timbul isu untuk menangguhkan PADU,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini, merakamkan tahniah kepada pasukan PADU yang bertungkus-lumus memastikan sistem berkenaan dapat digunakan dalam tempoh yang singkat.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming menggesa kerajaan untuk menangguhkan proses PADU sehingga beberapa isu keselamatan diperbetulkan.

Beliau mendakwa, langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem pendaftaran PADU, termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah ada dalam pangkalan data sistem itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button