BERITA SEMASAPOLITIK

WAWASAN umum kepimpinan baharu: Rais Yatim dilantik Pengerusi, Hamzah Presiden

KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mengumumkan barisan kepimpinan pusatnya yang diterajui gabungan tokoh politik berpengalaman, termasuk bekas menteri, ahli Parlimen dan golongan profesional dengan Tan Sri Dr Rais Yatim dilantik sebagai Pengerusi.

Menerusi senarai pelantikan yang diumumkan parti itu, Rais yang juga tokoh politik veteran dan bekas menteri akan mengetuai badan tertinggi parti, sementara Hamzah menerajui kepimpinan parti sebagai Presiden.

Jawatan Timbalan Presiden pula disandang bekas Ketua Bersekutu BERSATU Johor, Datuk Tan Lek Khang.

Bagi jawatan Naib Presiden, WAWASAN melantik lima pemimpin iaitu bekas Pengerusi BERSATU Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon, selain Datuk Mohd Omar Mustapha dan Datuk Huan Cheng Guan.

Turut diberi peranan penting ialah dua bekas pemimpin BERSATU yang sebelum ini dipecat daripada parti berkenaan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Agung, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan.

Selain itu, Mohd Badrul Ezan Mohd Yusof dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif, sementara Datuk Arifin Tobias memegang jawatan Bendahari Agung.

WAWASAN turut mengumumkan pelantikan 25 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzair Ayob; bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah serta Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan.

Pada 13 Jun lalu, Hamzah mengumumkan penubuhan WAWASAN sebagai platform rasmi Gerakan Reset ketika Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button