BERITA SEMASA

Warga Myanmar mengaku miliki MyKad, JPN buat laporan polis

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berhubung penularan satu video memaparkan seorang lelaki warga Myanmar yang mengaku memiliki MyKad.

JPN dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa selain mengelakkan kekeliruan, spekulasi dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Menurut jabatan itu, sebarang isu atau dakwaan berkaitan kewarganegaraan serta pemilikan MyKad sentiasa diberi perhatian serius dan ditangani mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sebarang pengesahan hanya boleh dibuat melalui semakan rekod rasmi dan siasatan terperinci.

“JPN tidak boleh mengesahkan status kewarganegaraan seseorang atau mengambil tindakan lanjut hanya berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi hari ini.

Jelas JPN, identiti sebenar individu yang dipaparkan dalam video berkenaan masih belum dikenal pasti dan tiada maklumat lengkap yang boleh digunakan untuk tujuan pengesanan atau tindakan lanjut.

Sehubungan itu, pihaknya telah memohon kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan individu terbabit serta mengenal pasti identiti sebenar pemilik akaun yang memuat naik kandungan berkenaan.

Selain itu, kerjasama turut dipohon daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengesan sumber asal penyebaran video tersebut serta pihak yang terlibat dalam penyebarannya.

JPN pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Laporan polis berhubung perkara itu dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya hari ini susulan penularan video di platform TikTok yang mempersoalkan status dokumen dimiliki lelaki berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button