BERITA SEMASA

Situasi terkini di Myanmar dibincang dalam Mesyuarat Troika ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN

PUTRAJAYA – Mesyuarat mekanisme Troika ASEAN mengenai Myanmar dijangka diadakan pada Jumaat ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mesyuarat itu yang jadualkan pada petang 24 Oktober ini akan memberi tumpuan kepada perkembangan terkini di Myanmar serta usaha berterusan ASEAN untuk mencapai penyelesaian yang aman, inklusif dan mampan terhadap krisis politik berpanjangan di negara tersebut.

“Saya akan memberi taklimat kepada rakan sejawat ASEAN mengenai apa yang telah berlaku di Myanmar,” katanya dalam sidang media khas mengenai sidang kemuncak itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini semalam.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, telah berinteraksi dengan pihak berkepentingan di Myanmar sebanyak dua kali iaitu pertama pada Februari dan kemudian pada Mei lalu.

Katanya, perbincangan tersebut, termasuk rundingan mendalam dengan Perdana Menteri, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, menekankan keperluan gencatan senjata segera serta akses kemanusiaan tanpa halangan kepada komuniti yang terjejas.

“Pada awalnya, mereka enggan berbincang antara satu sama lain, tetapi menjelang mesyuarat kedua, mereka mula berinteraksi. Itu adalah kemajuan,” ujarnya sambil menambah bahawa kerajaan sementara yang diterajui tentera kini dilihat lebih terbuka dan bersedia untuk berunding dengan pihak berkepentingan, menunjukkan kesediaan untuk bergerak ke arah kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa taklimat bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Putrajaya. 22 Oktober 2025. 

Berhubung pilihan raya Myanmar yang dijangka berlangsung hujung tahun ini, Mohamad berkata ia dijangka diadakan dalam tiga fasa dengan lebih daripada 5,000 calon berdaftar.

“Mengenai pemerhati, walaupun jemputan telah dihantar kepada negara anggota ASEAN dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, saya memaklumkan bahawa kita akan membincangkan penyertaan tersebut secara kolektif dalam ASEAN terlebih dahulu,” tambahnya.

Troika ASEAN, yang ditubuhkan pada tahun 2023, merangkumi pengerusi semasa, terdahulu dan akan datang ASEAN, bagi memastikan kesinambungan dalam menangani krisis Myanmar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button