JENAYAH & MAHKAMAH

Impian bekerja di KL musnah, lapan PATI warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia

PASIR PUTEH – Impian lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk tiga wanita untuk bekerja di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika bersembunyi di kawasan semak di tebing Sungai Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat, awal pagi Rabu lalu.

Kesemua PATI berusia antara 18 hingga 51 tahun itu dipercayai baru sahaja mendarat menggunakan bot sebelum bertindak menyorok di kawasan berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, anggotanya yang menjalankan rondaan menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris mengesan sebuah bot bergerak dari perairan Kuala Besar menuju ke Kota Bharu pada pukul 11.47 malam.

Menurutnya, bot terbabit bersama tekong berjaya meloloskan diri dengan meredah kawasan sungai cetek yang menyukarkan pergerakan bot peronda Maritim Malaysia.

“Operasi pencarian diteruskan sebelum anggota Maritim Malaysia mengesan bot itu merapat ke tebing Sungai Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat dan dipercayai telah menurunkan PATI pada pukul 12.20 tengah malam.

“Pemeriksaan di kawasan tersebut menemukan lapan PATI yang sedang bersembunyi di dalam semak. Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki negara ini secara haram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Tok Bali, di sini hari ini.

Kamal berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua PATI itu dipercayai membayar RM6,000 seorang kepada sindiket bagi membolehkan mereka memasuki negara ini melalui laluan laut.

Katanya, mereka dijanjikan pekerjaan dalam sektor perkilangan dan kedai makan di Kuala Lumpur.

“Kesemua PATI telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button