Wanita maut kemalangan lima kenderaan
MANJUNG – Seorang wanita maut manakala suami serta dua anaknya cedera apabila motosikal dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Teluk Intan-Sitiawan berhampiran Kampung Kayan di Sitiawan, di sini hari ini.
Menurut Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 8.19 pagi tadi.
Susulan itu, sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan terus digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati kemalangan tersebut membabitkan dua motosikal, masing-masing sebuah treler, kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan lima mangsa cedera.
“Kemalangan membabitkan kereta Honda yang sebelum itu terbabas di bahu jalan.
“Wanita serta suami dan dua anaknya yang menaiki motosikal SYM cuba membantu pemandu kereta berkenaan (yang terbabas) sebelum dilanggar sebuah treler.
“Kemalangan turut membabitkan Toyota Hilux dinaiki lima warga Pakistan serta sebuah lagi motosikal Honda EX5 ditunggang seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua individu menaiki Toyota Hilux selamat, manakala pemandu treler serta penunggang motosikal Honda EX5 masing-masing cedera.
Beliau berkata, mangsa yang cedera diserahkan pada pihak perubatan, manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








