UM mohon maaf isu adegan teater tidak senonoh, akui wujud pelanggaran syarat pertandingan
KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) tampil memohon maaf secara terbuka berhubung isu adegan tidak senonoh dalam sebuah persembahan teater yang tular di media sosial, sambil mengakui bahawa insiden tersebut melibatkan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak universiti memaklumkan bahawa mereka memandang serius kontroversi yang tercetus serta mengambil maklum segala kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat.

Menurut UM, berdasarkan syarat-syarat umum dan peraturan pertandingan Karnival Teater Universiti Malaya (KARVITER), setiap persembahan diwajibkan bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik universiti.
“Hasil penelitian mendapati adegan yang dipertontonkan adalah tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan dan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan tersebut melalui hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, pihak universiti memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta kegusaran yang timbul.
“Universiti tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang telah ditetapkan.
“Persembahan teater berkenaan telah diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai dam tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan insiden seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” kata kenyataan itu lagi.
BACA JUGA:
KMUM kecam pementasan teater berunsur tidak senonoh di Universiti Malaya
Semalam, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di atas pentas.
Difahamkan, rakaman tersebut adalah sebahagian daripada pementasan teater yang diadakan di universiti berkenaan.
Malah, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) turut mengecam sekeras-kerasnya pementasan teater tersebut yang disifatkan melanggar norma kesopanan dan nilai agama Islam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








