UIAM siasat kenyataan pensyarah tular, tegas komitmen jaga integriti akademik
GOMBAK – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedang meneliti kenyataan yang dibuat oleh seorang ahli akademik dari Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Abdul Hamid Abu Sulayman (AHAS KIRKHS) melalui siasatan dalaman mengikut tatacara sedia ada.
Dalam kenyataan hari ini, UIAM menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil penelitian tersebut demi menjaga integriti serta kualiti kesarjanaan dalam kalangan ahli akademik susulan penularan sebuah video di media sosial melibatkan seorang tenaga pengajar universiti berkenaan.
Pihak pengurusan universiti memandang serius perkara itu dan menyifatkan tindakan tersebut menjejaskan imej serta integriti akademik UIAM, meskipun teguran telah diberikan sebelum ini agar beliau lebih berhati-hati ketika memberi pandangan awam.

UIAM turut menjelaskan bahawa pandangan yang dilontarkan oleh ahli akademik berkenaan adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi universiti berkenaan.
“Sebagai institusi pengajian tinggi, UIAM menjunjung prinsip kebebasan akademik yang memberi ruang kepada para sarjana untuk berkongsi pandangan dan menyumbang kepada wacana ilmiah.
“Namun, kebebasan itu perlu disertai dengan tanggungjawab berpaksikan ketepatan ilmiah dan selaras dengan piawaian bidang masing-masing,” menurut kenyataan universiti itu.
UIAM turut menegaskan komitmen berterusan untuk mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap integriti akademik universiti, di samping menyeimbangkan antara kebebasan akademik dan tanggungjawab ilmiah bagi memastikan kredibiliti dunia pendidikan terus terpelihara.
“UIAM percaya bahawa tanggungjawab besar ahli akademik ialah mendidik masyarakat dengan ilmu yang autentik, berfakta dan berintegriti,” katanya lagi.
Seorang pensyarah dari universiti itu sebelum ini beberapa kali mencetuskan kontroversi melalui dakwaan fakta sejarah yang tidak bersandarkan bukti yang kukuh sehingga mencetuskan kekeliruan ramai.
Terbaharu, pensyarah berkenaan tampil dengan dakwaan bahawa orang Rom belajar membina kapal dari orang Melayu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







