UIAM ungguli Anugerah Emas MiSHA 2024, bukti komitmen terhadap keselamatan kampus
GOMBAK – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Emas dalam kategori Anugerah Kecemerlangan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Industri MiSHA 2024.
Pengiktirafan berprestij itu disampaikan oleh Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA), Aziz Basiran dalam satu majlis khas yang diadakan di Kampus UIAM Gombak, baru-baru ini.

Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, hadir menerima anugerah tersebut bagi pihak universiti.
UIAM merupakan satu-satunya universiti awam yang menerima anugerah itu tahun ini, sekali gus mengiktiraf komitmen kukuh institusi tersebut dalam mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) bagi warganya.
Timbalan Rektor (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) UIAM, Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras berterusan daripada semua pihak di universiti dalam mewujudkan persekitaran kampus yang selamat dan sihat.
“Tahniah kepada Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHBE) dan seluruh warga UIAM yang sentiasa komited dalam menjadikan kampus sebagai tempat kerja yang selamat dan kondusif.
“Kami akan terus memperkukuh usaha ini ke arah kecemerlangan berterusan dalam OSH,” katanya.
Sementara itu, Presiden MiSHA, Aziz Basiran pula memuji kesungguhan UIAM yang menurutnya jelas menunjukkan universiti tersebut amat menitikberatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan komuniti kampus.
“Semua inisiatif dan strategi yang dilaksanakan UIAM amat wajar dipuji.
“Pengiktirafan ini adalah hasil kecekapan dan kesungguhan mereka dalam mengangkat amalan OSH di peringkat institusi,” ujarnya.
Majlis penganugerahan MiSHA yang berlangsung pada Januari lalu turut dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Anugerah itu diberikan kepada organisasi yang berjaya melaksanakan strategi pengurusan berasaskan rangka kerja Occupational Safety and Health Principle of Prevention (OSHPoP), sejajar dengan aspirasi kerajaan menerusi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021–2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








