Tiga lelaki maut nahas di Lebuhraya Karak penuntut UIAM
GOMBAK – Tiga lelaki yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 34 Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur, awal pagi tadi merupakan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dalam kejadian pada pukul 2.15 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Adli Hakim Akberdin, 24; Ameer Ashraf Khairul Annuar, 24, dan Afiq Jamal Abdul Nasir, 26.
Seorang lagi mangsa, Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27, dilaporkan cedera parah dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Selayang.

Difahamkan, keempat-empat rakan terbabit menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen Golf dan dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands menuju ke kampus UIAM Gombak ketika kejadian berlaku.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asistan Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler yang sedang bergerak.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Selayang.
“Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA JUGA:
Tiga lelaki maut, wanita cedera parah dalam nahas libat lori simen di Gombak
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Faizal Mohd di talian 019-2696097 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.
Sementara itu, proses bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa dilaporkan selesai dijalankan di Hospital Selayang petang tadi sebelum jenazah diserahkan kepada waris masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















