
Tuduhan ‘kafir harbi’ adalah melampau – CEC DAP
KUALA LUMPUR – DAP menggesa semua pihak agar berkempen secara matang dan bertanggungjawab tanpa memainkan sentimen kebencian yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Gesaan itu dibuat susulan tular satu rakaman video yang menggelarkan DAP sebagai ‘kafir harbi’ dalam satu ceramah PAS dan Perikatan Nasional (PN).
Ceramah tersebut turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam rakaman itu, seorang individu yang mempengerusikan majlis telah mengeluarkan kenyataan bahawa DAP adalah ‘kafir harbi di Malaysia’.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman dalam kenyataan bersama, mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tersebut.
“DAP adalah sebuah parti politik yang sah dan mempunyai keanggotaan daripada pelbagai kaum, termasuk ahli yang beragama Islam.
“Istilah ‘kafir harbi’ adalah istilah fiqah klasik yang hanya relevan dalam konteks peperangan pada zaman dahulu.
“Menuduh ahli DAP yang beragama Islam sebagai kafir harbi adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, DAP menuntut agar individu yang terlibat dalam ceramah tersebut segera meminta maaf kepada semua ahli parti yang beragama Islam.
Mereka juga mendesak PAS dan PN menyatakan pendirian mereka sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan tersebut.
“Jika tidak, kedua-dua parti ini digesa mengecam kenyataan tersebut secara terbuka.
“DAP sekali lagi menegaskan bahawa kempen politik perlu dijalankan dengan matang dan bertanggungjawab, tanpa menggunakan retorik kebencian yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








