BERITA SEMASA

Tol percuma sempena Aifilfitri pada 8,9 April

KUALA LUMPUR – Pengguna lebuh raya yang menggunakan kenderaan persendirian (Kelas 1) akan menerima kemudahan tol percuma selama dua hari iaitu 8 dan 9 April bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian itu telah dipersetujui melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu.

“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“Ia akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 8 April 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 9 April 2024 (Selasa) di mana Kerajaan perlu memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran berjumlah RM37.60 juta.

“Pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol, kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan jumlah kenderaan dijangka meningkat dengan pemberian tol prcuma ini, para pengguna lebuh raya digalakkan untuk merancang perjalanan dengan lebih awal.

“Bagi pengguna lebuh raya Utara Selatan (PLUS), digalakkan merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) dengan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut memperkenalkan aplikasi aduan MYJalan berkonsepkan ‘No Wrong Door Policy’, yang menerima semua jenis aduan berkaitan jalan raya seperti kerosakan, infrastruktur, termasuk jalan raya yang bukan di bawah seliaan KKR.

Aduan-aduan tersebut akan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakan segera, katanya lagi.

Alexander turut berkata, terdapat penambahbaikan dalam pelaksanaan lorong Smart Lane untuk mengurangkan kesesakan iaitu:
1) Pemasangan papan tanda peringatan pengaktifan Smart Lane di setiap sela 500 meter;
2) Pemasangan papan tanda amaran 200 meter sebelum Smart Lane bermula dan berakhir;
3) Pemasangan lampu indikasi smart lane (blinking light) setiap 1 km;
4) Paparan Mesej Elektronik/Variable Message System (VMS) mudah alih untuk memaklumkan pengguna mengenai pengaktifan/ penamatan operasi Smart Lane.

Tambahnya, pihak LLM dan syarikat konsesi akan melaksanakan advokasi bersama pengguna lebuh raya menerusi perkongsian video dan infografik bagi memberi kesedaran berkenaan Smart Lane dan terus memantau keberkesanan tindakan penambahbaikan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button