BERITA SEMASA

TMJ titah kempen anti buli dilaksana secara besar-besaran di Johor

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar kempen anti buli digerakkan secara besar-besaran di seluruh negeri ini sebagai langkah memastikan tiada toleransi terhadap salah laku berkenaan.

“Gejala buli harus dibendung dan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan setiap institusi pendidikan adalah kawasan yang selamat bagi kanak-kanak,” titah Baginda melalui hantaran di media sosial.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih titah tersebut dan menegaskan Johor tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras gejala buli.

“Menjunjung kasih Tunku Mahkota Ismail yang baru sahaja menziarahi adik Izzul Islam di Hospital Pakar KPJ Puteri. Baginda telah berkenan untuk melaksanakan kempen all out anti bully.

“Kerajaan negeri akan menyambut titah ini dengan memastikan matlamat ‘tiada toleransi terhadap kes buli di Johor’ dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Onn Hafiz, pelaksanaan kempen anti buli tersebut akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah agama serta agensi-agensi negeri.

Beliau menegaskan gerak kerja kempen akan diperincikan dalam masa terdekat dengan amaran keras bahawa kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kes buli.

“Kita mahu bangsa Johor membangun dalam suasana kondusif, aman serta bebas daripada budaya buli yang sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Tunku Mahkota Ismail bersama Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim turut berkenan menziarahi Izzul Islam Azuan Isaidi, 10.

Kanak-kanak itu kini dirawat di hospital selepas dipercayai menjadi mangsa buli.

Terdahulu, ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 39, mendakwa anaknya dipukul oleh murid berusia 10 dan 12 tahun di hadapan kelas di sebuah sekolah agama serta sekolah kebangsaan di Skudai pada 21 Februari dan 7 Ogos lalu.

Beliau kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Skudai pada 23 Februari dan laporan kedua di Balai Polis Larkin pada 15 Ogos.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button