Tiga beranak mengaku tidak bersalah dera kanak-kanak lelaki
KLANG – Tiga beranak mengaku tidak bersalah hari ini di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal, tahun lepas.
K. Asha Nanthini, 37, adiknya K. Theveinthiran, 34, dan ibu mereka P. Sivadevi Apparamasamy, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Nur Shafrida Hashim.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa menganiayai kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di bawah jagaan mereka itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, di sebuah rumah di Taman Sri Andalas di sini, 5 Nov tahun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan yang bersesuaian.
Peguam V. Pushparajan memohon jaminan minimum RM10,000 untuk kesemua tertuduh dengan mengambil kira mereka memberikan kerjasama sepanjang siasatan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa, selain menetapkan sebutan semula kes pada 1 Dis ini. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








