TFC bergerak ke arah komersial, perkukuh kewangan kelab
KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) kini memberi fokus untuk meningkatkan nilai komersial dan daya saing kewangan kelab bagi memastikan kelangsungan yang lebih mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berkata, langkah itu selaras dengan visi menjadikan TFC sebagai sebuah organisasi bola sepak profesional dan berdaya saing di peringkat nasional.
“Kerjasama strategik ini menjadi permulaan kepada era baharu di mana kelab perlu diurus secara profesional, bukan sahaja menambah nilai kewangan tetapi turut memberi pulangan kepada penaja menerusi pelbagai aktiviti bersama penyokong.
“Walaupun tumpuan utama kami adalah prestasi di atas padang, namun kelab juga mahu bergerak secara mandiri di luar padang melalui peluang perniagaan dan penajaan agar kewangan lebih kukuh di masa hadapan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman bersama Bubbles O2 Sdn Bhd di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sejak menerajui jawatan berkenaan pada pertengahan Ogos lalu, pihaknya telah berjaya membawa masuk dua rakan perniagaan baharu untuk memperkukuhkan kedudukan jenama TFC.
Majlis menandatangani perjanjian itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah TFCSB, Hishamuddin Abdul Karim serta barisan pengurusan kelab.
Kerjasama bersama Bubbles O2, satu-satunya jenama air mineral semula jadi dengan kandungan oksigen tinggi di Malaysia, disifatkan seiring dengan gaya hidup aktif pasukan TFC serta penyokongnya.
Bubbles O2 yang ditubuhkan pada 2018 kini berkembang pesat dalam pasaran minuman premium dengan menjadikan penajaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sukan sebagai pemacu utama kejayaan.
Selain TFC, syarikat itu juga merupakan rakan rasmi Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), inisiatif Road to Gold (RTG), National Baseball League (NBL) serta terlibat dalam kejohanan berprestij seperti Le Tour de Langkawi dan Malaysia Football League (MFL).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








