SUKAN

Tan Cheng Hoe dilantik Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim pasukan kebangsaan Harimau Malaya, berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Peter Cklamovski yang sebelum ini mengemudi skuad kebangsaan, sekali gus memberi ruang kepada FAM merangka semula hala tuju pasukan.

FAM berkata, pemilihan Tan Cheng Hoe dibuat berdasarkan pengalaman luas, rekod pencapaian serta pemahaman mendalam beliau terhadap landskap bola sepak tempatan.

“FAM berharap pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan akan kembali memberi suntikan baharu kepada Harimau Malaya dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan di peringkat Asia dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Badan induk bola sepak negara itu turut menzahirkan keyakinan bahawa pengalaman, kepakaran dan pengetahuan beliau mengenai bola sepak tempatan akan menjadi aset penting dalam memperkukuhkan prestasi skuad negara.

Tan Cheng Hoe bukan nama asing dalam arena bola sepak negara apabila pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih dari 2017 hingga 2021.

Antara pencapaian beliau termasuk membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 sebagai penolong jurulatih serta membawa Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018 sebagai ketua jurulatih.

Di peringkat kelab, beliau pernah membantu Kedah menjuarai Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017, selain membimbing Selangor serta kelab Thailand, Police Tero FC.

Pada April 2025, Tan Cheng Hoe dilantik sebagai Pengarah Teknikal pasukan kebangsaan sebelum kembali diberi tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button