BERITA SEMASA

Bekas Ketua Hakim Negara dilantik siasat isu dokumentasi babitkan 7 pemain warisan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut FAM dalam satu kenyataan, pelantikan itu adalah seperti yang diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram pada sidang media 17 Oktober lalu.

Katanya, menerusi pengumuman itu sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan yang mana ia tidak akan membabitkan mana-mana individu daripada FAM bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan profesional.

“Tun Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, di mana beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang bagi negeri Melaka dan Kelantan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

“Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996, kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017,” katanya hari ini.

Dalam pada itu katanya, di peringkat antarabangsa pula, Md Raus memegang peranan terbilang sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf.

Katanya, beliau juga merupakan ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ) yang menyumbang kepada wacana dan kerjasama undang-undang serantau.

“Berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luas beliau, FAM berharap Tun Md Raus bersama-sama ahli jawatankuasa bebas tersebut yang akan dipilih oleh beliau sendiri akan dapat sama-sama menjalankan proses siasatan secara teliti dan menyeluruh sebelum membuat satu rumusan hasil siasatan itu nanti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button