Suri rumah didakwa tipu jualan emas tidak wujud RM173,500
ALOR SETAR – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan menipu urusan penjualan emas yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM173,500, dua tahun lalu.
Tertuduh, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Mengikut pertuduhan, wanita berusia 39 tahun itu didakwa memperdaya seorang mangsa, Rashadah Abdul Majid, untuk memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank miliknya bagi tujuan tempahan barang kemas yang sebenarnya tidak wujud.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 2 Jun hingga 16 Ogos 2024 di Kampung Mani, Mukim Belimbing Kanan, daerah Padang Terap.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Ku Nur Farahi Eliana Ku Abd Razak.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM190,000 selain syarat tambahan iaitu menyerahkan dokumen perjalanan, tidak mengganggu saksi serta melapor diri di balai polis setiap bulan.
Bagaimanapun, pihak pembelaan merayu jumlah jaminan minimum atas alasan tertuduh tidak bekerja dan ditanggung suami yang turut menyara empat anak serta ibu mentua.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan syarat menyerahkan dokumen perjalanan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sehingga petang ini, tertuduh dilaporkan masih belum menjelaskan wang jaminan dan berkemungkinan dihantar ke Penjara Pokok Sena sekiranya gagal memenuhi syarat ditetapkan.
Kes akan disebut semula pada tarikh yang akan ditetapkan bagi proses perbicaraan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






