Suri rumah rugi RM66,805 diperdaya tawaran kerja sambilan palsu
KUALA TERENGGANU – Harapan seorang suri rumah untuk memperoleh pendapatan sampingan berkecai apabila dia kerugian RM66,805 selepas terperdaya dengan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud menerusi aplikasi Telegram.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 37 tahun tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 11 pagi, semalam.
Menurutnya, kejadian bermula pada 30 November lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon kira-kira jam 12.30 tengah hari daripada individu yang mendakwa wakil sebuah platform e-dagang dan memaklumkan mahu menghantar barang.
“Pada 5 Disember, mangsa menerima bungkusan berupa botol air (tumbler) sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan Telegram dikenali sebagai ‘Cahaya Usaha’.
“Mangsa kemudiannya diarahkan membuat bayaran kononnya bagi mendapatkan tugasan iaitu membuat ulasan barangan, dengan janji pulangan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Azli berkata, terpedaya dengan helah tersebut, mangsa melakukan enam transaksi secara berperingkat membabitkan jumlah keseluruhan RM66,805.
Beliau berkata, mangsa mula berasa curiga apabila terus diminta membuat bayaran tambahan namun tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.
“Menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati wang digunakan adalah daripada simpanan mangsa serta bantuan kewangan ahli keluarga,” katanya lagi.
Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran kerja sambilan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, khususnya yang memerlukan bayaran awal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







