BERITA SEMASADALAM NEGERI

Sultan Selangor berkenan kurnia darjah, bintang kebesaran kepada 98 individu esok

SHAH ALAM – Seramai 98 individu akan dikurniakan darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-80, esok.

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, seramai 38 individu menerima darjah dan bintang kebesaran membawa gelaran, dengan dua menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS).

Selain itu, katanya, tiga menerima Darjah Kebesaran Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS), 16 menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan 17 menerima Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS).

“Pada tahun ini baginda mengurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati iaitu Darjah Kerabat Kedua (DK II) kepada hanya seorang penerima.

“Seramai 59 individu lain menerima darjah dan bintang kebesaran tidak membawa gelaran, iaitu seorang menerima Bintang Kebesaran Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (AKS) dan masing-masing 10 dikurniakan Setia Mahkota Selangor (SMS) serta Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS).

“Ahli Mahkota Selangor (AMS ) pula dikurniakan kepada 15 individu, Ahli – Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) juga kepada 15 penerima, manakala seorang menerima Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (BKS) dan tujuh menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC),” katanya.

Ahmad Fadzli berkata, kerajaan negeri membuka tawaran pencalonan darjah dan bintang kebesaran serta pingat pada 3 Jun lalu sehingga tarikh tutup pada 1 Ogos dengan 2,449 pencalonan diterima, membabitkan 955 permohonan pencalonan bagi darjah dan bintang kebesaran serta 1,494 bagi pingat.

“Seramai 98 calon disenarai pendek oleh jawatankuasa khas dan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dewan di-Raja pada 13 Oktober lalu. Sultan Selangor memperkenankan senarai pencalonan berkenaan selepas baginda berunding dengan Ahli Mesyuarat Dewan di-Raja.

“Semua calon yang disenarai pendek sudah melalui tiga tapisan utama iaitu Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button