UMNO Selangor kekal konsisten junjung, pertahan institusi raja
SHAH ALAM – UMNO Selangor menyokong penuh, menjunjung kasih serta menyambut baik kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor berhubung peranan dan tanggungjawab Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, kenyataan tersebut amat penting dalam memperjelaskan kepada rakyat bahawa setiap titah, nasihat, teguran dan peringatan Sultan Selangor adalah selari dengan semangat Raja Berperlembagaan serta peranan baginda sebagai Ketua Negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
“UMNO Selangor berpandangan bahawa institusi raja bukan sekadar simbol semata-mata tetapi merupakan sebahagian penting dalam sistem semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa berjalan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Justeru, semua pihak sewajarnya menghormati serta memahami kedudukan dan peranan Sultan Selangor menurut lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, tanpa cuba mempolitikkan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap titah serta pandangan baginda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, UMNO Selangor menegaskan pihaknya kekal konsisten dalam menjunjung dan mempertahankan institusi Kesultanan Selangor daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah, provokasi mahupun cubaan memperlekehkan martabat Sultan Selangor.
Sebelum ini katanya, UMNO Selangor turut konsisten tampil mempertahankan titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi di negeri Selangor yang cuba diputarbelitkan oleh pihak tertentu, selain mengecam tindakan biadab menyunting dan menghina imej Sultan Selangor yang jelas melampaui batas adab, budaya serta prinsip menghormati institusi raja.

“Bagi UMNO Selangor, institusi raja Melayu adalah payung negeri, lambang perpaduan rakyat serta benteng kestabilan yang wajib dipelihara dan dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar politik.
“Dalam suasana politik yang semakin mencabar hari ini, UMNO Selangor menyeru semua pihak agar lebih matang, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi Kesultanan serta tidak menjadikan perkara melibatkan Sultan Selangor sebagai bahan polemik politik sempit.
“Tumpuan utama semua pihak seharusnya adalah kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, memperkukuh kestabilan negeri serta memastikan pentadbiran berjalan dengan berkesan selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





