HIBURAN

Suami selamat di Dubai, Sasha Saidin minta khalayak rujuk sumber sahih

KUALA LUMPUR – Penyanyi kumpulan Elite, Sasha Saidin memaklumkan suaminya yang kini berada di Dubai berada dalam keadaan selamat susulan ketegangan keselamatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) akibat konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.

Sasha, 49, berkata, beliau bersyukur apabila suaminya, Sirhan Wahab serta kenalan mereka di sana tidak terjejas setakat ini.

“Saya sangat tersentuh dan berterima kasih kepada semua yang menghubungi serta bertanya khabar mengenai keadaan saya dan suami.

“Alhamdulillah, keluarga dan insan tersayang berada dalam keadaan selamat,” katanya menerusi hantaran video di Instagram.

Menurut anggota kumpulan Elite itu, beliau kini berada di Kuala Lumpur bersama ibu dan anaknya, Arya selepas pulang beberapa hari sebelum Ramadan.

Sasha yang telah menetap di Dubai selama enam tahun berkata beliau sentiasa mendapatkan perkembangan semasa daripada suaminya dan yakin dengan kecekapan pihak berkuasa UAE menguruskan situasi.

“Sepanjang saya menetap di Dubai, kerajaan UAE sangat cekap menguruskan keadaan dan memastikan orang ramai kekal tenang.

“Bunyi siren yang kedengaran adalah langkah keselamatan supaya orang ramai sentiasa berwaspada dan berada di dalam bangunan,” katanya.

Sasha suami
Sasha melangsungkan perkahwinan bersama Sirhan pada Januari 2020 sebelum pasangan itu menetap di Dubai. – Foto Instagram Sasha Saidin

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman negara tersebut menangani pandemik Covid-19 serta beberapa insiden besar termasuk banjir sebelum ini.

Dalam pada itu, Sasha memaklumkan jadual penerbangan pulang ahli keluarganya turut mengalami kelewatan susulan gangguan operasi lapangan terbang akibat situasi semasa.

“Insya-Allah, dalam beberapa hari lagi lapangan terbang akan dibuka semula. Saya menantikan saat untuk kembali bersama keluarga dan suami,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang tular di media sosial.

“Terlalu banyak video dan maklumat yang dikatakan berlaku di Dubai tetapi tidak tepat.

“Pastikan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan boleh dipercayai,” katanya.

Untuk rekod, Sasha mendirikan rumah tangga dengan Sirhan pada Januari 2020 sebelum menetap di Dubai mengikut suaminya yang bekerja di sana.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button