SPRM reman enam individu termasuk pemilik syarikat disyaki beri rasuah
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman enam individu termasuk seorang pemilik syarikat bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan pemberian suapan kepada seorang penjawat awam sebagai balasan tidak diambil tindakan undang-undang terhadap premis mereka.
Perintah reman selama empat hari sehingga 24 Januari 2026 dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Meera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, di sini, pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 40 hingga 60-an ditahan secara berasingan menerusi Op Nature yang dijalankan di sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang antara pukul 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam.
“Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai berlaku antara Februari hingga November 2025, dengan jumlah wang rasuah disyaki diberikan antara RM2,000 hingga RM50,000 secara tunai,” katanya.
Susulan penahanan tersebut, SPRM turut menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan di kilang serta kediaman semua suspek di sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd. Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








