SPRM bakal terbit buku 1MDB, dedah kisah sebenar ‘Putera Arab’
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menerbitkan sebuah buku khas mengenai siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang merangkumi pendedahan fakta sebenar berdasarkan dokumen penyiasatan dan penghakiman mahkamah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, buku berkenaan dijangka memperincikan individu sebenar yang terlibat dalam skandal kewangan terbesar dunia itu, termasuk isu kontroversi membabitkan individu yang digelar sebagai ‘Putera Arab’.
Menurut beliau, penerbitan buku tersebut bertujuan memberi kefahaman menyeluruh kepada masyarakat serta memperbetulkan pelbagai persepsi yang timbul sepanjang tempoh perbicaraan kes berkenaan.
“Saya berhasrat membukukan kes 1MDB ini sebagai satu dokumen awam supaya masyarakat boleh membaca dan memahami fakta sebenar, bukan sekadar membuat kesimpulan berdasarkan maklumat ringkas di media sosial,” memetik BH online.
Azam berkata, SPRM kini menunggu penghakiman penuh mahkamah sebelum proses penerbitan buku itu dimuktamadkan.
“Sebagai contoh isu ‘Putera Arab’, sebenarnya berdasarkan keterangan, kita sendiri tidak pasti siapa individu yang dimaksudkan.
“Sama ada benar-benar seorang putera atau sebaliknya, semua ini telah direkodkan dalam dokumen mahkamah,” katanya lagi
Siasatan terhadap 1MDB bermula pada 2015 dan menjadi antara skandal kewangan terbesar dunia, melibatkan dakwaan penyelewengan dana berbilion ringgit melalui rangkaian transaksi kompleks merentas negara.
Di Malaysia, siasatan dijalankan oleh SPRM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara meliputi kesalahan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram.
Kemuncak kepada siasatan itu ialah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd, termasuk salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.
Keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022, menjadikan sabitan dan hukuman berkenaan muktamad.
Azam berkata, kes 1MDB menjadi titik penting dalam landskap perundangan negara kerana membuktikan kesungguhan pihak berkuasa membanteras rasuah berprofil tinggi serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam mengekang jenayah kewangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







