Sikap tidak bertanggungjawab punca sampah haram berleluasa di Sepang
SEPANG – Isu pembuangan sampah haram terus menjadi cabaran utama di daerah ini yang dipercayai berpunca daripada sikap segelintir individu dan pengusaha yang sengaja membuang sisa di lokasi tidak dibenarkan untuk mengelak bayaran pelupusan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dr Ani Ahmad menegaskan, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah menjejaskan imej Sepang sebagai pintu masuk utama negara.
“Apabila mereka mengambil sampah dari premis persendirian dan membuangnya di kawasan haram semata-mata mahu mengelak tipping fee, mereka bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi menzalimi orang lain,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberta selepas majlis penyerahan 114 lori baharu KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sisa domestik di Sepang.
Menurut Dr Ani lagi, pengurusan sampah tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk peniaga, pembayar cukai dan komuniti.
“Kita menyeru masyarakat menjadikan pengurusan sampah sebagai tanggungjawab bersama seperti yang diamalkan di Jepun,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Sepang merupakan ‘gateway’ kepada negara serta tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Selangor dan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Justeru, Dr Ani menyarankan penduduk mengamalkan pengasingan sisa di punca, sementara barang kitar semula pula dikumpulkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Berhubung isu pembuangan sampah haram di tanah persendirian, Dr Ani menjelaskan bahawa ia melibatkan bidang kuasa pejabat tanah namun MPSepang tidak pernah lepas tangan.
“Operasi bersepadu sentiasa dijalankan bersama pejabat tanah dan polis. Tindakan pihak yang membuang sampah merata-rata menyebabkan bau busuk, lalat, pembakaran terbuka dan risiko kesihatan kepada penduduk, ini satu bentuk kesalahan dan dosa,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Ani melahirkan harapan agar dapat mencapai status bandar raya apabila tiba masa yang sesuai.
“Kita sudah memenuhi banyak kriteria. Apabila dinaik taraf, perkhidmatan perlu jauh lebih baik daripada taraf perbandaran,” kata beliau penuh optimis.
Majlis itu turut menyaksikan pembentangan operasi oleh Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir yang memaklumkan bahawa syarikat itu telah membuat pelaburan hampir RM36 juta untuk menambah keupayaan logistik.

Daripada jumlah itu, RM20 juta diperuntukkan bagi 43 unit lori kompaktor baharu manakala RM16 juta digunakan untuk 71 unit lori arm roll.
“Semua 114 lori baharu ini menggunakan chassis buatan Jepun dengan standard Euro 5 yang lebih cekap dan rendah karbon. Sejumlah 103 unit telah diterima, manakala baki 11 unit akan tiba minggu depan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa KDEBWM kini menguruskan pembersihan 12 PBT di Selangor dengan Sepang menjadi PBT kelapan yang syarikat itu ambil alih.
Tambah Ramli, semua lori baharu itu dilengkapi sistem pemantauan 24 jam termasuk geofencing yang menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan dikenal pasti sebagai lokasi pembuangan sampah haram.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan video tular berkaitan longgokan sampah bukan berpunca daripada lori kompaktor KDEBWM.
“Kebanyakannya lori luar khususnya lori roro. Tanpa CCTV di setiap sudut, memang sukar mengawalnya. Sebab itu kita perlukan kerjasama penduduk,” katanya lagi.
Beliau turut meminta orang ramai agar merakam dan melaporkan aktiviti mencurigakan menggunakan telefon bimbit kepada pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








