BERITA SEMASA

MPSepang terima 114 lori baharu, KDEBWM tingkat perkhidmatan pengurusan sisa pepejal

SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) secara rasmi menerima 114 unit kenderaan operasi baharu daripada KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) hari ini, dalam usaha meningkatkan kapasiti pengurusan sisa pepejal dan memastikan perkhidmatan kebersihan yang lebih efisien.

Majlis penyerahan yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran MPSepang dengan kerjasama KDEBWM itu menandakan fasa baharu dalam pengurusan sisa pepejal di daerah Sepang, selaras dengan kontrak perkhidmatan baharu KDEBWM bagi tempoh 1 Disember 2025 hingga 31 Ogos 2032.

MPSepang KDEB
Dr Ani menerima replika kunci daripada Ramli sebagai simbolik penyerahan kenderaan tersebut.

Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, sebanyak RM36 juta dilaburkan untuk aset baharu itu sebagai langkah meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan pengurusan sampah dan sisa pepejal di daerah tersebut.

“Kenderaan operasi baharu ini merangkumi 43 unit lori kompaktor dan 71 unit lori armroll dengan kapasiti muatan meningkat daripada 16 tan kepada 19 tan bagi setiap lori.

“Semua kenderaan berasaskan chassis FUSO, ISUZU dan UD dari Jepun yang terkenal dengan kualiti kejuruteraan, ketahanan dan kestabilan jangka panjang.

“Malah, ia turut dilengkapi sistem pemantauan 24 jam dan geofencing untuk memastikan operasi lebih teratur dan mengelak pembuangan sampah haram,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tersebut di Bangunan Ibu Pejabat MPSepang, di sini.

Menurut Ramli, dengan pertambahan aset tersebut, pihaknya yakin dapat mempertingkatkan operasi di Sepang yang kini mempunyai hampir 400,000 penduduk dan lebih 10,000 premis perniagaan.

“KDEBWM berhasrat melangkah lebih jauh daripada sekadar mematuhi kontrak, dengan melaksanakan transformasi operasi berasaskan data, sistematik dan responsif terhadap keperluan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad berkata, penyerahan kenderaan tersebut menunjukkan komitmen berterusan antara MPSepang dan KDEBWM dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang efisien, sistematik dan berteknologi tinggi.

“MPSepang menaruh harapan tinggi kepada KDEBWM untuk memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Sepang selaras dengan piawaian tertinggi, seiring dengan halatuju strategik Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi mewujudkan Negeri Selangor Pintar, Berdaya Huni dan Makmur 2025,” kata Dr Ani.

Beliau turut menyeru KDEBWM memperkukuh inisiatif pengasingan sisa di punca melalui program kitar semula, pengoperasian pusat kitar semula baharu, penggunaan Automatic Drive-Through Recycling Centre (ADTRec) dan Reverse Vending Machine (RVM) serta kerjasama bersama NGO dan GLC melalui program SELKitar.

Menurut Dr Ani, pengurusan sisa yang efektif bukan sahaja menekankan kebersihan tetapi juga kesihatan persekitaran dan kelestarian alam sekitar jangka panjang.

“Kerjasama strategik antara MPSepang dan KDEBWM akan membantu mengurangkan jumlah sampah ke tapak pelupusan dan kos ‘tipping fee’ yang kini mencecah RM5.2 juta setahun,” katanya.

Majlis penyerahan aset itu menjadi titik tolak kepada usaha mempertingkatkan perkhidmatan pengurusan sisa, sejajar dengan visi MPSepang untuk menjadi perbandaran ‘Bersih, Hijau, Pintar dan Mampan’ menjelang 2030.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button