BERITA SEMASA

MPSepang jangka cukai taksiran 2025 meningkat kepada RM191 juta

SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjangkakan cukai taksiran semasa yang berjumlah RM151 juta meningkat kepada RM191 juta pada tahun depan.

Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhammad Shah Osmin berkata, kenaikan cukai taksiran itu susulan nilaian baharu cukai taksiran yang diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkuatkuasa 1 Januari depan.

“MMKN telah bersetuju sebarang kenaikan cukai taksiran hasil daripada senarai nilaian baharu hendaklah tidak melebihi 25 peratus daripada cukai sedia ada termasuk bangunan telah diubahsuai,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang di Bilik Semarak di sini, hari ini.

Selain itu, Muhammad Shah berkata, kenaikan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh kemudahan infrastruktur dan memberikan keselesaan kepada penduduk.

Beliau berkata, salah satu projek yang dirancang untuk tahun hadapan adalah pembinaan sebuah terminal bas tiga tingkat di tapak terminal bas sedia ada di Persiaran Multimedia, Cyberjaya.

Katanya, projek itu dijadualkan bermula pada November lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2026 dengan kos keseluruhan sebanyak RM12.2 juta.

“Beberapa projek pembangunan turut dirancang pada tahun depan antaranya Kompleks Komuniti Kampung Dato Abu Bakar Baginda di Sungai Merab membabitkan kos sebanyak RM 17.3 juta, balai raya di Taman Arked, Dengkil dan penggantian kabel bawah tanah untuk sistem lampu awam.

“MPSepang juga merancang penggantian kabel bawah tanah untuk sistem lampu awam di Jalan Dagang Mas, pengantian lampu jalan kepada LED di jalan Utama Salak Tinggi, pengindahan sempadan daerah serta pembangunan landskap serta kerja-kerja berkaitan di FT29 Cyberjaya.

“Projek menaik taraf padang bola di Jalan Putra Perdana serta pembangunan taman rekreasi di Tasik Angsana, Tasik Cempaka, dan Tasik Beringin juga termasuk dalam perancangan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, projek itu dirancang untuk memberi manfaat besar dan memastikan kawasan kediaman sentiasa selesa, bersih dan selamat untuk didiami.

Dalam pada masa yang sama, beliau berkata kenaikan cukai taksiran itu juga memberikan kelebihan kepada pemilik hartanah kerana nilai aset di daerah Sepang akan meningkat secara automatik.

“Sekiranya pemilik hartanah ingin melupuskan pegangan mereka, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) akan menilai aset tersebut pada kadar yang lebih tinggi,” jelasnya.

Pada masa sama, katanya, MPSepang turut menekankan bahawa semua projek dirancang secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi penduduk, sejajar dengan matlamat menyediakan perkhidmatan berkualiti pada kos yang munasabah.

“Kejayaan pelaksanaan projek ini adalah hasil daripada kerjasama erat barisan pengarah dan ahli majlis yang komited melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Kami yakin pendekatan berstruktur ini akan memberikan impak positif kepada rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button