BBST Walk@Sepang meriah, semarak semangat patriotik dan gaya hidup sihat
SEPANG – Suasana BBST Walk@Sepang semalam gamat dengan kehadiran orang ramai apabila Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menganjurkan Program Komuniti Mampan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Hari Malaysia 2025 serta Hari Tanpa Kenderaan.
Bermula seawal pukul 6.30 pagi hingga 12 tengah hari, pelbagai aktiviti berteraskan semangat patriotisme, gaya hidup sihat, seni budaya dan pembangunan komuniti menjadi tarikan pengunjung.

Acara dimulakan dengan Fitness Dance anjuran KBS Sepang sebelum berlangsungnya simbolik penyerahan Jalur Gemilang serta pelepasan Fun Walk Jalur Gemilang oleh Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad bersama Timbalannya, Muhamad Shah Osmin serta Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim.
“Program ini bukan sahaja menyemarakkan kecintaan terhadap negara, malah memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sepang. Pada masa sama, ia meraikan gaya hidup sihat, mesra alam dan memberi ruang kepada keusahawanan komuniti,” kata Dr Ani.
Antara acara yang mencuri perhatian ialah pertandingan bertema patriotik seperti Pertandingan Pakaian Merdeka Tercantik, Hiasan Baju Patriotik dan Mewarna Bulan Kebangsaan, di samping persembahan kebudayaan tiga etnik utama yang menggambarkan keharmonian budaya Malaysia.

Aktiviti sukan rakyat seperti karom dan dam haji turut menarik penyertaan pengunjung tanpa mengira usia. Program ini juga menyediakan ruang pameran dan perkhidmatan komuniti termasuk pemeriksaan gigi, jualan baja komposit, kaunter bayaran cukai, serta hiburan keluarga seperti Soopa Doopa dan Giant Bubble.
Dalam masa sama, aspek keusahawanan turut diperkasa melalui penyertaan food truck, car booth sale, jualan kebun komuniti serta promosi agro pelancongan oleh HL Dragon Fruit Eco Farm dan Warisan Selangor.
Majlis penutup menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.
Menurut Dr Ani, secara keseluruhannya program itu berjaya mencapai objektif penganjuran dengan mengukuhkan silaturahim masyarakat, menyemarakkan patriotisme dan pada masa sama menggalakkan gaya hidup sihat serta sokongan terhadap keusahawanan komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






