BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Pesta Pantai 2025 Bagan Lalang tawar pelbagai aktiviti menarik

SEPANG – Pantai Bagan Lalang bakal kembali meriah dengan penganjuran Pesta Pantai 2025 yang dijadual berlangsung pada 20 dan 21 September ini bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam.

Pelbagai acara menarik untuk semua lapisan masyarakat disediakan sepanjang dua hari penganjuran termasuk program larian, persembahan artis, persembahan kebudayaan seperti Cempuling, tarian Orang Asli dan gendang Cina selain hari bertemu pelanggan bersama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

MPSepang dalam satu kenyataan berkata, penganjuran kali ini dijangka menarik ribuan pengunjung dengan konsep pantai berwarna-warni yang sesuai untuk aktiviti keluarga, selain mempromosikan budaya dan warisan masyarakat pelbagai kaum.

Melalui penganjuran pesta ini, ia dapat memperkenalkan keindahan Pantai Bagan Lalang sebagai destinasi pelancongan utama di Sepang.

“Pesta Pantai 2025 bukan sahaja menjadi platform untuk mengukuhkan silaturrahim dalam kalangan masyarakat, malah juga dapat memperkenalkan keindahan Pantai Bagan Lalang sebagai destinasi pelancongan utama di Sepang.

“Kami menjemput orang ramai untuk hadir bersama keluarga dan menikmati pelbagai acara menarik yang telah dirancang,” kata kenyataan itu.

Acara lain yang dijangka mencuri perhatian adalah pertandingan push bike, ‘Battle of the Band’, silat pantai antarabangsa, wau pantai, seni mempertahankan diri, tarik tali, gusti lengan, pertandingan nyanyian kanak-kanak, bola sepak pantai, bola tampar pantai dan pickleball pantai.

Turut diadakan ialah pertandingan memasak nasi ambeng serta punten, pertandingan sukan rakyat, permainan tradisional, selain himpunan barista dan jualan ehsan rakyat.

Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang menikmati persembahan kombo MPSepang, cabutan bertuah serta merasai rawatan di stesen refleksologi yang disediakan.

Orang ramai turut digalakkan untuk mengambil peluang membeli-belah di gerai jualan yang disediakan sepanjang pesta berlangsung.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button