BERITA SEMASA

Sheqal hembus nafas terakhir di sisi isteri, 2 anak – DJ Dave

SEREMBAN – Penyanyi terkenal era 1980-an dan 90-an, Sheqal meninggal dunia di sisi Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini pada pukul 12.30 tengah hari, hari ini.

Menurut kenyataan YKAT, DJ Dave bersama isteri serta dua anak Allahyarham berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Anggerik, HTJ ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

“Ketika itu, arwah menghembuskan nafas terakhir disaksikan sendiri oleh Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave bersama ahli keluarga terdekat.

“Kita baru sahaja kehilangan seorang insan seni yang cukup dikenali menerusi genre muzik nusantara dan pop tradisional yang pernah mewarnai industri muzik tanah air sekitar era 1990an,” menurut kenyataan itu.

Allahyarham yang nama sebenarnya Shaharin Salehuddin, 60, dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun lalu dan ditidurkan dua hari kemudian akibat komplikasi kesihatan yang dialami.

Pemergian beliau turut disahkan isterinya, Normah Mohd Yusoff yang memaklumkan keadaan kesihatan Sheqal merosot sejak awal bulan ini.

Sheqal pernah mencipta fenomena menerusi lagu-lagu seperti Gadis Sentimental dan Memori Luka, yang kekal malar segar dalam kalangan peminat muzik berentak pop tradisional dan nusantara.

Gaya nyanyiannya yang penuh penghayatan menjadikan beliau antara nama besar dalam industri ketika itu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat cahaya mata, iaitu dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu bersama pelakon Raja Ema, Putera Ammar dan Putera Al Kasyah, serta dua anak perempuan daripada perkahwinan dengan Normah, Puteri Nur Safiya dan Puteri Nur Damia.

Maklumat berhubung pengebumian Allahyarham akan dimaklumkan oleh pihak keluarga dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button