BERITA SEMASA

Seri Paduka Baginda berkenan pandu sendiri ETS3 ke Stesen Kluang

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan memandu sendiri Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Kluang di Johor.

Upacara berkenaan merupakan simbolik kepada perasmian laluan tren berkenaan ke selatan tanah air.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di Stesen Kuala Lumpur pada jam 7.45 pagi disambut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perjalanan ke Kluang dengan tren yang mampu mencapai kelajuan hingga 140 kilometer sejam (km/j) itu mengambil masa kira-kira 3 jam 30 minit.

Baginda turut diiringi Anthony Loke, Shamsul Azri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan dalam pemanduan itu.

Di Stesen Kluang, Sultan Ibrahim dijadual menyempurnakan perasmian Laman Rel Mahkota, sebuah taman awam ikonik sepanjang 2.8 kilometer yang dibangunkan di bawah jajaran viaduct Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

Selepas majlis berkenaan, Seri Paduka dijadual berangkat pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki ETS3.

Sultan Ibrahim sebelum ini mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Sultan pertama di negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada 2010 dan pernah memandu kereta api pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010).

Baginda memperoleh lesen memandu kereta api serta melakukan prosedur turn table bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan, sekali gus diiktiraf sebagai Sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari.

Selasa lalu, Sultan Ibrahim turut berkenan memandu ETS2 dari Kuala Lumpur ke Rawang.

Anthony Loke sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, kedua-dua set tren ETS3 jenis Electric Multiple Unit (EMU) bagi laluan selatan ke Johor Bahru Sentral, sedang menjalani ujian teknikal dan sekiranya semua berjalan lancar, ia akan mula beroperasi bulan ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button