BERITA SEMASA

Pengasas KK Mart mohon ampun, maaf kepada Agong

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan di Istana Negara, hari ini.

Pada sesi mengadap itu, Kee Kan memohon ampun dan maaf kepada baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Seri Paduka Baginda bertitah, semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Dalam pada itu, baginda juga memberi amaran supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat.

“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button