BERITA SEMASADALAM NEGERI

Seorang bayi kembar tiga masih kritikal, Mejar Fikry bimbang tapi yakin ketentuan Allah

MELAKA – Keadaan salah seorang daripada tiga bayi kembar perempuan pasangan Mejar Ir. Mohd Fikry Amri Abdul Halim, 40, dan Sabrina Hakiem Zaini, 40, dilaporkan berada dalam keadaan membimbangkan selepas dilahirkan pramatang pada usia 31 minggu di Hospital Melaka, baru-baru ini.

Menurut Mohd Fikry Amri, ketiga-tiga anaknya kini masih di bawah pengawasan doktor, namun seorang daripada mereka, Mariam Al Kawla ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk pemantauan lebih teliti.

kembar tiga
Bayi perempuan kembar tiga Mohd Fikry Amri kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Hospital Melaka. – Foto Facebook

Bagaimanapun, dua bayi bernama Mariam Al Lubna dan Mariam Al Arwaa berada di wad Rawatan Khas Bayi (SCN) dan menunjukkan perkembangan positif selepas masing-masing dilahirkan secara pembedahan caesarean.

Ujarnya, keputusan untuk melahirkan lebih awal dibuat selepas pakar mengenal pasti ruang rahim semakin padat sekali gus boleh memberi kesan kepada ibu dan bayi jika kandungan diteruskan sehingga tempoh matang.

“Bayi kami dilahirkan pada usia 31 minggu kerana keadaan kandungan kembar tiga yang menyebabkan ruang rahim menjadi terlalu padat dan berisiko kepada ibu serta anak-anak.

“Alhamdulillah, isteri saya selamat dan dua daripada bayi kami kini menunjukkan perkembangan baik. Namun, seorang lagi, Al Kawla masih dalam pemantauan rapi, bergantung kepada ubat yang doktor bagi,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Tambah beliau, berat bayi itu paling ringan berbanding kakak dan adiknya, iaitu hanya 1.78 kilogram.

“Sebagai ibu bapa, sudah tentu hati kami risau tetapi emosi isteri saya stabil dan kami reda serta percaya kepada ketentuan Allah.

“Kami berterima kasih atas sokongan dan doa rakyat Malaysia dan memohon agar semua terus mendoakan kesemua anak kami supaya membesar dengan sihat dan kuat,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pasangan itu menarik perhatian netizen apabila dikurniakan bayi perempuan kembar tiga pada 24 Oktober lalu hasil rawatan IVF yang ditaja Tuanku Azizah Fertility Foundation (TAFF) pada Februari 2025, setahun selepas kehilangan anak sulung, Muhammad Al Fateh yang meninggal dunia akibat kecuaian penjaga taska di Alor Gajah, Melaka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button