Duka kehilangan anak berganti kegembiraan, pasangan sambut kelahiran bayi perempuan kembar tiga
MELAKA – Selepas diuji dengan kehilangan anak sulung yang meninggal dunia di taska ketika berusia 8 bulan tahun lalu, sepasang suami isteri dikurniakan hadiah paling bermakna apabila Allah menghadirkan rezeki berganda dengan kelahiran bayi perempuan kembar tiga semalam.
Berita gembira ini dikongsikan sendiri oleh bapa kepada bayi-bayi tersebut, Mejar Ir Mohd Fikry Amri Abd Halim, 40, melalui laman Facebook miliknya.
“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT. Patik berdua menjunjung kasih Tuanku diatas kurniaan tajaan IVF dan sokongan moral, jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua yang telah mendoakan untuk kesejahteraan kami.
“Sukacita saya ingin memaklumkan isteri saya telah selamat melahirkan anak kembar tiga (triplet perempuan) secara pembedahan caesar pada hari Jumaat, 24 Oktober 2025, tepat pukul 9.40 pagi di Hospital Melaka.
“Isteri dan anak-anak saya dalam keadaan baik dan sihat. Alhamdulillah,” tulisnya.
Terdahulu, pada 6 September 2024, anak sulung pasangan tersebut, Muhammad Al Fateh meninggal dunia akibat tindakan pengasuh yang tidak melakukan pengawasan sewajarnya.

Kejadian berlaku di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Melaka.
Menurut Mohd Fikry lagi, sebelum kelahiran tersebut, beliau dan isteri perlu melalui perjalanan panjang termasuk 73 hari pemantauan di hospital bagi memastikan keselamatan ibu dan bayi.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan staf hospital yang terlibat.
“Semoga Allah SWT membalas jasa kalian dengan pahala berganda dan dijadikan asbab untuk kita semua masuk syurga tanpa hisab.
“Al Fateh pasti tersenyum di taman syurga melihat mummy daddy dia sekarang. Hari jumaat Al Fateh dijemput menghadap pencipta-Nya, Jumaat juga Allah hadirkan puteri-puteri adik Al Fateh kepada kami,” ujarnya.
Dalam perkongsian itu juga, Mohd Fikry Amri menyifatkan kelahiran kembar tiga itu sebagai perancangan Allah yang terbaik.

“Syukur dengan nikmat-Nya. Rezeki berganda datang pelbagai cara. Jangan pernah jemu memohon pertolongan kepada Allah SWT,” katanya lagi.
Selepas diuji dengan kehilangan tersebut, Mohd Fikry dan isterinya terpilih mengikuti program Tajaan Rawatan IVF oleh Tuanku Azizah Fertility Foundation (TAFF) pada Februari 2025.
Kisah pasangan itu menjadi inspirasi ramai tentang kesabaran, keimanan dan harapan serta bukti bahawa di sebalik ujian, Allah sentiasa menyediakan rezeki dan kebahagiaan dalam bentuk yang tidak dijangka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




