Maryam Al Khawla kritikal, Mejar Mohd Fikry mohon doa semua
MELAKA – Salah seorang bayi kembar tiga kepada pasangan Mejar Mohd Fikry Amri dan isterinya, Sabrina Hakiem yang berusia tiga bulan kini dilaporkan kritikal.
Mohd Fikry berkata, keadaan anak kembar keduanya, Maryam Al Khawla yang dilahirkan di Hospital Melaka pada Oktober tahun lalu, semakin lemah dan memerlukan doa seluruh masyarakat.
“Mohon semua yang mengenali saya dan isteri mendoakan kesembuhan dan keselamatan anak kami, Maryam Al Khawla (kembar nombor dua).
“Keadaannya tenat dan semakin lemah. Semoga ada keajaiban dan syifa’ atas berkat doa kalian semua.
“Hanya doa kalian yang kami pinta. Doakan kami terus kuat menempuh ujian ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Sebelum ini, isteri Mohd Fikry, Sabrina menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) pada Februari tahun lalu menerusi kurniaan khas Sultanah Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sabrina yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah di negeri ini, selamat melahirkan tiga bayi perempuan secara pembedahan di Hospital Melaka pada Oktober lalu.

Bayi pertama seberat 1.8 kilogram (kg) dilahirkan pada pukul 9.40 pagi, diikuti bayi kedua seberat 1.78kg (9.42 pagi) dan bayi ketiga seberat 1.93kg (9.46 pagi).
“Mummy dengan rendah diri memohon jasa baik semua untuk mendoakan bidadari besi mummy, Maryam Al Khawla mendapat kesembuhan sepenuhnya dan terus kuat melawan infection yang dihadapi sekarang.
“Dah 90 hari Khawla berjuang. Doakan Khawla terus kuat untuk melawan infection kali keempat ini.
“Ya Allah, kau berikanlah syifa’ kepada Maryam Al Khawla. Kau berikanlah kekuatan kepada kami untuk menghadapi ujian-Mu ini,” tulis Sabrina.
Terdahulu, kisah pasangan dari Alor Gajah itu pernah tular di media sosial menerusi tanda pagar #JusticeForAlFateh, selepas anak sulung mereka, Allahyarham Muhammad Al Fateh meninggal dunia di sebuah taska.

Pada September 2024, media melaporkan Muhammad Al Fateh yang ketika itu berusia lapan bulan meninggal dunia selepas dipercayai didera oleh pengasuh termasuk disumbat botol susu ke dalam mulut serta ditutup muka dengan bantal sehingga mengakibatkan kematian.
Allahyarham merupakan zuriat yang dinantikan selama 13 tahun oleh pasangan berkenaan, menjadikan ujian terbaharu ini satu lagi detik yang amat berat untuk keluarga tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













