Mejar Fikry dan isteri mohon doa untuk anak kembar tiga
MELAKA – Orang ramai diminta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan tiga cahaya mata perempuan kembar pasangan Mejar Ir Mohd Fikry Amri Abd Halim dan isterinya, Sabrina Hakiem yang dilahirkan pramatang dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU/SCN), Hospital Melaka.
Dalam satu hantaran penuh sebak di media sosial, Mohd Fikry Amri berkongsi bahawa ketiga-tiga bayinya dilahirkan pada minggu ke-31 kandungan, menyebabkan mereka berdepan risiko komplikasi dan memerlukan pemantauan rapi oleh doktor pakar.
“Kami mohon semua mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak triplet kami yang kini masih berada dalam wad NICU/SCN di Hospital Melaka.
“Mereka lahir pramatang pada minggu ke-31 dan mempunyai risiko tinggi komplikasi bayi pramatang,” tulis Mohd Fikry.
Beliau turut merayu agar pihak Hospital Melaka terus memberikan rawatan terbaik serta memastikan tahap keselamatan bayi-bayi mereka terjamin.
“Kami berharap pihak hospital melakukan prosedur yang sebaiknya dan mengelakkan sebarang kecuaian bagi memastikan mereka selamat. Triplet kini semuanya masih ditahan di NICU/SCN sehingga cukup minggu ke-35,” katanya.
Menurut Mohd Fikry, beliau dan isteri reda dengan segala ketentuan Ilahi dan menyerahkan sepenuhnya kepada perancangan Allah SWT.

“Walau apa pun yang berlaku, kami pasrah dan reda dengan ujian ini. Kami yakin setiap yang berlaku adalah sebahagian daripada perancangan Allah yang terbaik buat kami.
“Semoga triplet kami semuanya kembali sihat dan selamat dengan izin-Nya. Doakan kami terus kuat,” katanya lagi.
Terdahulu, pasangan itu menarik perhatian netizen apabila dikurniakan bayi perempuan kembar tiga pada 24 Oktober lalu hasil rawatan IVF yang ditaja Tuanku Azizah Fertility Foundation (TAFF) pada Februari 2025, setahun selepas kehilangan anak sulung, Muhammad Al Fateh yang meninggal dunia akibat kecuaian penjaga taska.

Pada 6 September 2024, Al Fateh meninggal dunia akibat tindakan pengasuh yang tidak melakukan pengawasan sewajarnya. Kejadian berlaku di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Melaka.
Kes tersebut masih lagi dibicarakan di mahkamah ketika ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




