WHO akui buat persiapan hadapi kemungkinan penggunaan senjata nuklear dalam konflik di Asia Barat
LONDON – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengakui mereka sedang membuat persediaan menghadapi “senario terburuk” melibatkan ancaman nuklear sekiranya perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran semakin memuncak.
Pengarah Serantau WHO bagi Mediterranean Timur, Hana Balkhy berkata, pihaknya kekal “berwaspada” terhadap kemungkinan penggunaan senjata nuklear susulan keputusan Presiden AS, Donald Trump untuk mengebom Iran dalam kempen bersama Israel, lapor portal Independent yang memetik artikel Politico.
“Senario terburuk ialah insiden nuklear, dan itulah yang paling membimbangkan kami.
“Walau sebanyak mana kita bersedia, tiada apa yang dapat menghalang kemudaratan yang bakal berlaku kepada rantau ini dan secara global jika ia benar-benar terjadi kerana kesannya akan berpanjangan selama beberapa dekad,” kata Balkhy dalam laporan tersebut.
Beliau turut memaklumkan, kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut membuat persediaan untuk pelbagai kemungkinan insiden “dalam skop yang lebih luas,” termasuk jika berlaku serangan ke atas kemudahan nuklear atau penggunaan senjata nuklear.
“Kami memikirkannya dan benar-benar berharap ia tidak berlaku,” tambah Balkhy.
Susulan kempen pengeboman di Timur Tengah, WHO kini “mengemas kini” risalah kakitangannya mengenai cara bertindak balas sekiranya berlaku insiden nuklear, selain menyediakan panduan berkaitan risiko kesihatan jangka panjang akibat pendedahan radiasi, lapor Politico.
“Saya rasa mereka yang memahami sejarah insiden lalu, sama ada disengajakan atau tidak, amat sedar tentang apa yang kita bincangkan,” katanya lagi.
Kebimbangan mengenai penggunaan senjata nuklear dalam konflik tersebut kembali hangat apabila tokoh kecerdasan buatan (AI) dan mata wang kripto Trump, David Sacks, mencadangkan bahawa Israel mungkin meningkatkan konflik dengan “mempertimbangkan penggunaan senjata nuklear.”
Bagaimanapun, Trump menegaskan bahawa “Israel tidak akan berbuat demikian” apabila ditanya wartawan mengenai kenyataan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








