BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan pantau ketegangan Asia Barat, pelan evakuasi belum diaktifkan

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum bercadang mengaktifkan pelan evakuasi bagi membawa keluar rakyat Malaysia dari Qatar dan negara-negara Teluk meskipun persekitaran keselamatan di Asia Barat kini dilihat tidak menentu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini keadaan di Qatar serta beberapa negara Teluk masih terkawal dan tidak memerlukan tindakan pemindahan segera dengan Wisma Putra terus memantau perkembangan semasa secara rapi.

“Kita sedang meneliti dan memantau keadaan di sana. Buat masa ini, situasi belum lagi memungkinkan kita untuk mengaktifkan pelan evakuasi,” katanya ketika menjawab soalan Senator Azahar Hassan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.

Azahar sebelum itu meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan membantu rakyat Malaysia yang didakwa ‘terperangkap’ susulan ketegangan serantau yang menjejaskan pergerakan dan keselamatan orang awam.

Mohamad memaklumkan, beberapa langkah proaktif telah digerakkan bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia terpelihara, khususnya mereka yang terkesan akibat gangguan penerbangan dan sekatan perjalanan.

Related Articles

“Antaranya pembukaan bilik gerakan 24 pukul sehari serta memastikan rakyat Malaysia boleh berhubung terus dengan pejabat konsulat di negara terlibat. Kedutaan juga diarahkan memantau perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini dianggarkan kira-kira 29,000 rakyat Malaysia berada di negara-negara Teluk, dengan 13,000 daripadanya berdaftar dengan kedutaan.

Di Qatar sahaja, seramai 2,007 rakyat Malaysia berdaftar dan majoritinya bekerja dalam sektor penerbangan serta industri berkaitan.

Tambahnya, fokus utama kerajaan kini adalah membantu rakyat Malaysia yang dalam transit di Dubai, Oman, Abu Dhabi dan Doha walaupun mereka yang menetap di negara berkenaan tidak berdepan masalah besar kerana mempunyai tempat tinggal dan kemudahan mencukupi.

Dalam perkembangan sama, rundingan turut diadakan dengan Lembaga Tabung Haji bagi membolehkan kemudahan penginapan agensi itu di Jeddah digunakan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat pembatalan penerbangan.

Kerajaan juga katanya, akan menguruskan kes secara individu termasuk pelajar yang terkandas dengan menempatkan mereka di premis kedutaan, selain berharap syarikat pengendali umrah memainkan peranan sewajarnya terhadap jemaah masing-masing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button