Panglima tentera Pakistan tamatkan lawatan ke Iran
ISLAMABAD – Panglima tentera Pakistan, Asim Munir menamatkan lawatan tiga hari ke Tehran selepas bertemu pemimpin tertinggi negara berkenaan dan para perunding sebagai sebahagian usaha menamatkan perang di Asia Barat.
Angkatan tentera Pakistan dalam satu kenyataan hari ini berkata, Asim telah bertemu dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Menteri Luar, Abbas Araghchi; Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf serta Ketua Markas Pemerintahan Pusat tentera Iran, kata AFP yang memetik kenyataan tersebut.
Lawatan itu menunjukkan “tekad tidak berbelah bahagi” Pakistan untuk memudah cara penyelesaian melalui rundingan serta mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran, kata pihak tentera menjelang rundingan Amerika Syarikat (AS) – Iran yang dijangka berlangsung di Islamabad dalam beberapa hari lagi.
Speaker Parlimen dan Menteri Luar mengetuai delegasi Iran ke Islamabad bagi rundingan damai dengan Amerika Syarikat minggu lalu, yang merupakan pertemuan bersemuka peringkat tertinggi antara kedua-dua negara dalam beberapa dekad.
Rundingan tersebut berakhir tanpa sebarang persetujuan, namun usaha diplomatik diteruskan selepas itu, dengan Perdana Menteri Pakistan melakukan lawatan ke tiga negara iaitu Arab Saudi, Qatar dan Turki bagi menggerakkan proses damai.
Pusingan kedua rundingan dijangka berlangsung di Islamabad, minggu ini.
Di Teheran, “Asim menekankan keperluan dialog, pengurangan ketegangan dan penyelesaian secara aman terhadap isu-isu tertunggak melalui penglibatan diplomatik berterusan,” kata kenyataan itu, hari ini
Teheran sebelum ini mengancam untuk menutup semula Selat Hormuz jika AS terus menyekat pelabuhan Iran, beberapa jam selepas Iran mengumumkan bahawa laluan air strategik itu telah dibuka semula susulan gencatan senjata di Lubnan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








