BERITA SEMASAPMX

Jangan teruskan semakan strategik Prolintas jika jejas kepentingan negara – PM kepada PNB

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) diingatkan agar tidak meneruskan semakan strategik terhadap pelaburannya dalam Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) sekiranya langkah itu memberi kesan negatif kepada kepentingan negara dan Bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebagai institusi yang diamanahkan menjaga kepentingan nasional, PNB perlu mengekalkan peranan serta pegangan dalam aset strategik negara.

Beliau berkata, pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan adalah memastikan kepentingan Bumiputera dan manfaat jangka panjang pemegang unit tidak terjejas.

“Proses semakan ini tidak wajar diteruskan sekiranya ia menjejaskan manfaat jangka panjang pemegang unit atau memberi kesan negatif kepada usaha PNB menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan, PNB mengesahkan rundingan sedang dijalankan dengan beberapa pihak berhubung aset lebuh rayanya Prolintas.

Namun, PNB, dalam satu kenyataan, menegaskan proses itu masih di peringkat awal dan belum ada sebarang keputusan dibuat setakat ini.

PNB dilaporkan berkata, kajian strategik terhadap pelaburan dalam Prolintas sedang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada penilaian portfolio berkala.

Ia merangkumi pelbagai pilihan termasuk mengekalkan pemilikan aset atau membawa masuk rakan strategik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button